Suatu ketika, cendekiawan dan ulama terkenal, Dr. Muhammad Iqbal (1877-1938) pernah menceritakan satu peristiwa yang amat berkesan di hatinya. Cerita cendekiawan yang berasal dari Paksitan itu berkisar dirinya, ayahnya dan al-Quran. Kata Iqbal... "Saya biasa membaca al-Quran selepas solat Subuh, dan ayah selalu mengawasi saya. Bukan saja mengawasi, malah ayah juga bertanya, 'Apa yang kamu lakukan itu, Iqbal?', padahal sudah jelas ayah tahu saya sedang mengaji. Saya menjawab, "Saya sedang membaca al-Quran ayah".
"Pertanyaan itu ayah ulang setiap pagi, setiap subuh, selama tiga tahun penuh. Jawapan yang saya berikan juga sama, setiap pagi, setiap subuh, selama tiga tahun penuh, bahawa saya sedang mengaji al-Quran.
"Suatu hari saya memberanikan diri bertanya kepada ayah. 'Mengapa ayah selalu menanyakan soalan yang sama, padahal jawapan saya juga sama?' Jawab ayah, 'Nak, bacalah al-Quran itu seolah-olah diturunkan langsung untukmu.'
"Barulah saya faham mengapa setiap subuh, ayah akan bertanyakan soalan tersebut. Sejak saat itu, saya sentiasa membayangkan seolah-olah al-Quran itu diturunkan untuk diri saya."
"Saya tidak saja membaca, tetapi juga cuba mengerti. Bukan saja cuba mengerti, tetapi juga cuba memahaminya. Tidak setakat memahami, saya cuba mengamalkannya. Bukan saja mengamalkannya, malah cuba untuk menyampaikan kembali isi al-Quran itu seperti yang saya fahami."
Maka hari ini kita mengenang Muhammad Iqbal sebagai salah seorang tokoh besar Islam, yang bukan sahaja memahami dan mengamalkan isi al-Quran, malah berusaha menyampaikannya seluas dan sebaik yang boleh.
Dari cerita di atas, walaupun sesibuk mana sekali pun kehidupan kita, maka janganlah kita lepaskan kesibukan itu dengan melupakan membaca al-Quran. Berilah sedikit masa kita untuk membaca al-Quran setiap hari dan cubalah memahaminya serta cubalah menerangkannya kepada orang lain, setidak-tidaknya kepada ahli keluarga kita terutama kepada isteri dan anak-anak kita.
Ahad, 10 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan